Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain (kanan) menyertai program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

1,600 anak pokok ditanam sekitar muara, pulih habitat pesisir pantai

SEPANG, 27 FEB: Sebanyak 1,600 anak pokok pelbagai jenis ditanam di dua muara sungai sekitar daerah ini bagi memperkukuh kawasan berkenaan sebagai zon penampan ombak.

1,000 anak pokok bakau jenis ‘Rhizophora Apiculata’ dan ‘Rhizophora Mucronata’ ditanam di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih hari ini manakala baki pokok ketapang dan rhu di Pantai Bagan Lalang esok.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) inisiatif itu mampu memulihkan habitat pesisir pantai yang menempatkan kepelbagaian biologi selain memperkaya sumber hasil pantai.

“Secara tidak langsung, ia berperanan menjamin keselamatan sumber makanan dari laut dan sosioekonomi masyarakat tempatan terutama nelayan,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain ketika ditemui.

Program selama dua hari itu mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Selangor, Institut Rimbawan Malaysia, Balai Iktisas Malaysia disertai mahasiswa jurusan perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, Abd Hamid berkata pokok berperanan membantu mengimbangi suhu dan iklim setempat sekali gus mengurangkan fenomena pulau haba.

“Pada masa ini, isu pemanasan global menjadi topik utama yang memberi kesan besar kepada alam sekitar.

“Perubahan iklim mengakibatkan bencana seperti peningkatan paras air laut yang mendadak dan banjir,” katanya lagi.

Sukarelawan menanam anak pokok bakau dalam program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutanan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :