Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) membantu wanita memulakan perniagaan dengan mudah, cepat dan tidak membebankan. Foto Facebook Hijrah Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

1,637 usahawan wanita terima manfaat skim niaga Hijrah Selangor

SHAH ALAM, 23 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) membelanjakan sejumlah RM6.78 juta bagi pembiayaan program Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) sejak 2 Februari tahun lepas sehingga semalam.

Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 1,637 usahawan wanita di Selangor yang memperoleh dana memulakan perniagaan antara RM1,000 hingga RM5,000.

“Sambutan diterima amat memberangsangkan, malah sejak 1 Januari tahun ini seramai 117 individu sudah menerima manfaat sama dengan nilai keseluruhan RM522,000.

“Kebanyakan mereka menceburi perniagaan pemakanan, pembekalan, perkhidmatan, pertanian, pemprosesan dan penternakan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Beliau menambah permohonan skim berkenaan mudah dan cepat selain tidak perlu menghadiri mesyuarat mingguan seperti sebahagian program mikrokredit lain.

“Kita percaya skim ini membantu wanita untuk mencipta pendapatan baharu untuk keluarga selain menambah kewangan isi rumah,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri memberi peruntukan awalan RM10 juta untuk membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 serta boleh memilih tempoh biaya antara enam bulan hingga tiga tahun.

Terbuka kepada wanita dan semua kaum, individu berminat boleh memohon melalui laman sesawang www.hijrahselangor.com atau hubungi pegawai pembiayaan di 20 cawangan Hijrah Selangor.


Pengarang :