Muhammad Ammar menerima suntikan vaksin sambil disaksikan abang dan ibunya dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3) pada 16 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

246,869 kanak-kanak terima dos pertama vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Sebanyak 246,869 atau tujuh peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dalam negara telah mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data di laman web COVIDNOW, sebanyak 13,486,823 atau 57.3 peratus populasi dewasa dalam negara pula telah menerima dos penggalak COVID-19; sejumlah 22,939,377 individu atau 97.5 peratus (lengkap vaksinasi), manakala 98.7 peratus atau 23,216,096 (sekurang-kurangnya satu dos).

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,796,605 individu atau 89.9 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,877,213 atau 92.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 154,776 dos vaksin diberikan meliputi dos pertama sebanyak 42,374 termasuk 39,749 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, dos kedua (1,657) dan dos penggalak (110,745) menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin diberikan di bawah PICK meningkat kepada 65,356,763 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, sebanyak 31 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Sabah melaporkan lapan kes, Selangor (tujuh kes), Johor (enam kes), Pulau Pinang (lima kes), Kedah (dua kes) dan masing-masing satu kes di Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :