Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

270,000 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 antara Julai hingga Disember

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Seramai 270,000 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dijangkiti Covid-19 antara Julai dan Disember tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, seramai 63 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun telah meninggal dunia akibat Covid-19 manakala kajian daripada 14 hospital kerajaan di seluruh negara mendapati 174 kes sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak (MISC) telah dikesan.

“(Daripada jumlah itu) 56 peratus atau 100 kes MISC berlaku pada kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga 12 tahun dan empat peratus kematian…kanak-kanak boleh terjejas teruk (oleh Covid-19) dan kanak-kanak telah dibawa ke mana-mana.

“Tatacara operasi piawai (SOP) telah dilonggarkan, orang ramai melancong, berkelah atau ke pusat beli-belah dengan membawa anak-anak mereka dan kini anak-anak kembali ke sekolah (namun), semua orang telah divaksinasi kecuali kanak-kanak,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV yang disiarkan hari ini.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata adalah penting untuk kanak-kanak diberi vaksin kerana mereka berisiko mendapat komplikasi akibat Covid-19 iaitu MISC yang menyebabkan keradangan dan komplikasi kepada pelbagai organ dan Covid-19 jangka panjang.

PICKids yang bermula pada 3 Feb menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 untuk melindungi golongan itu daripada jangkitan Covid-19.

Ia juga bertujuan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dibendung sekali gus mengelakkan kluster dalam kalangan murid.

Setakat semalam, seramai 206,748 atau 5.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :