Selangorkini
Canselor Unisel Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda berucap sempena Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 5 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

2,868 graduan terima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel

KUALA SELANGOR, 5 FEB: Seramai 2,868 graduan Universiti Selangor (Unisel) dirai pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 yang berlangsung hari ini sehingga 9 Februari ini.

Istiadat konvokesyen yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini diadakan secara fizikal selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19.

Canselornya, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj berkata kekangan akibat pandemik tidak menghalang pelajar untuk mengikuti pengajian secara dalam talian.

“Unisel menyediakan kemudahan platform e-learning V4 yang lebih mesra pelajar. Sepanjang tempoh pandemik, lebih 4,900 kursus dan lebih 96,000 jam rakaman kuliah telah dihoskan.

“Survei kepuasan pengguna juga menunjukkan sebanyak 89.3 peratus pelajar berpuas hati dengan pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang dijalankan Unisel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini.

Konvokesyen kali ini dibahagikan kepada lima sidang bermula dengan sidang pertama pada hari ini dan berakhir pada 9 Februari.

Bagi mencegah penularan Covid-19, Unisel mengadakan majlis pengurniaan ijazah pada sesi pagi sahaja, bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan pada waktu petang untuk sesi konvokesyen berikutnya.

 


Pengarang :