Datuk Bandar Shah Alam (tiga dari kiri) Dato’ Zamani Ahmad Mansor menyerahkan bantuan banjir kepada Naib Pengerusi Majlis Bersama Jabatan (empat dari kiri) Mustakim Mairin @ Kunting yang mewakili kakitangan MBSA. Foto MBSA
PBTSELANGOR

301 kakitangan MBSA mangsa bah terima bantuan wang tunai, peralatan elektrik

SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 301 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang terjejas dalam insiden banjir Disember lalu, menerima sumbangan wang tunai dan peralatan elektrik daripada pihak berkuasa tempatan itu.

Jurucakap Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata turut menerima sumbangan adalah Ahli Majlis yang terkesan dengan bencana berkenaan.

“MBSA telah memberikan sumbangan bantuan bencana kepada kakitangan terlibat iaitu RM1,000 kepada kakitangan yang berkahwin manakala RM500 kepada kakitangan yang bujang.

“Pihak MBSA juga turut memberikan sumbangan barangan peralatan elektrik seperti periuk nasi, dapur masak dan kipas elektrik kepada semua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap sumbangan Bantuan Bencana Banjir MBSA itu dapat meringankan beban warga kerjanya yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda tahun lalu.

Kesemua sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor pada Majlis Perhimpunan Bulanan MBSA Kali Pertama bagi tahun 2022 pada 9 Februari lalu.

Ia diserahkan kepada Naib Pengerusi Majlis Bersama Jabatan, Mustakim Mairin @ Kunting yang mewakili kakitangan MBSA.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan, Ahli-Ahli Majlis dan pengarah-pengarah jabatan MBSA.

 


Pengarang :