Navaneethan Karuppasami, 40, menunjukkan sampul Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diterima di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

4,000 lagi mangsa bah di Shah Alam, Klang dapat bantuan negeri

SHAH ALAM, 22 FEB: Seramai 4,000 keluarga terjejas banjir sekitar Shah Alam dan Klang menerima
Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan MBSA Kemuning Utama di sini hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor menjangka sumbangan yang diagih secara berperingkat sejak Disember tahun lalu selesai hujung bulan ini.

“Majlis Bandaraya Shah Alam menyediakan tempat bagi membantu Pejabat Daerah dan Tanah Klang menyalurkan sumbangan ini yang akan selesai sebelum 28 Februari,” katanya ketika ditemui.

Sukarelawan menyemak butiran mangsa banjir sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mengulas tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang agihan berlangsung, Zamani berkata penguat kuasa dan polis mengawal dalam dan luar dewan bagi memastikan keadaan terkawal.

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bah termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Beliau sebelum ini turut memohon maaf atas kelewatan agihan bantuan tersebut berikutan banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.


Pengarang :