Salah seorang penerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) Kerajaan Negeri Selangor dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kerajaan Persekutuan pada majlis penyerahan sumbangan di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah/Tanah Klang pada 15 Februari 2022. Foto Facebook Pejabat Tanah/Daerah Klang
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

53,825 mangsa bah Klang terima bantuan RM1,000 setakat semalam

SHAH ALAM, 25 FEB: Seramai 53,825 mangsa banjir di Klang pada Disember tahun lalu menerima sumbangan RM1,000 menerusi Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat semalam.

Pegawai Daerah Mohd Faizal Abdul Raji berkata jumlah itu direkodkan sejak hari pertama agihan pada 28 Disember.

Hari ini seramai 7,600 lagi mangsa dijangka menerima sumbangan sama di Kompleks Sukan Pandamaran; Dewan Kilat TNB, Jalan Kapar serta Dewan Serbaguna Pejabat Tanah/Daerah Klang.

“Program hari ini bukan yang terakhir kerana kita akan adakan sesi lain di pejabat tanah/daerah khas untuk mangsa yang tidak dapat hadir.

“Untuk memudahkan agihan kita minta mangsa mengemaskini permohonan dengan menyertakan nombor akaun untuk proses pemindahan ke akaun (EFT) masing-masing,”katanya kepada SelangorKini.

Kemas kini boleh dibuat di pautan https://www.selangor.gov.my/klang.php/database_stores/form/28 selain perlu mengemukakan kad pengenalan, nama, nama bank, gambar tangkap layar muka depan penyata bank, gambar swafoto memegang kad pengenalan dan nombor telefon.

Sejak Ahad hingga hari ini pejabat tanah/daerah Klang melaksanakan program agihan BSB besar-besaran kepada lebih 46,000 mangsa di beberapa lokasi dari 3 petang hingga 8.30 malam.

Penyaluran wang tunai turut dibantu kakitangan Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam serta Majlis Bandaraya Subang Jaya.


Pengarang :