Ahli Dewan Negeri, Seri Setia, Halimey Abu Bakar (tengah) bersama Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir (kiri) menyatuni penerima kanak – kanak selepas menyampaikan sumbangan barang persekolahan ketika Program Kembali ke Sekolah DUN Seri Setia bersama KDEBWM di TH Hotel, Kelana Jaya pada 8 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

64 pelajar B40 DUN Seri Setia terima kelengkapan sekolah

PETALING JAYA, 8 FEB: Seramai 64 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia terpilih menerima bantuan kelengkapan persekolahan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Halimey Abu Bakar berkata bantuan baju, seluar, kasut, beg dan alat tulis disalurkan hasil sumbangan KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi meringankan beban ibu bapa pelajar berkenaan.

“Pemberian bantuan ini merupakan pusingan ketiga yang mana sebelum ini kita sudah mengagihkan keperluan sama kepada 167 murid melalui kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan 800 pasaraya Mydin.

“Jadi, untuk kali ini kita minta ahli majlis untuk cari dan kenal pasti pelajar yang layak. Kita berterima kasih kepada pihak KDEBWM kerana tidak pernah jemu membantu kawasan Seri Setia,” katanya selepas penyerahan bantuan itu di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya dekat sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir berkata sebanyak RM10,000 diperuntukkan untuk agihan bantuan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kawasan berkenaan.

“Ini antara program yang kita dapat laksanakan bagi membantu golongan kurang bernasib baik. Walaupun sibuk menguruskan kutipan sampah domestik di Selangor, kita juga tidak mahu melupakan mereka.

“Seri Setia merupakan DUN ketiga terpilih bagi program ini. Sebelum ini, kita membelanjakan jumlah sama untuk murid di Sekinchan dan Kinrara, insya-Allah akan cuba sebaik mungkin untuk bantu murid di seluruh DUN,” katanya.


Pengarang :