Pemeriksaan sistem elektrik di Rumah Pam Bukit Jelutong U8, Shah Alam. Foto Facebook Air Selangor
AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Air Selangor: Bekalan air di Klang, Petaling pulih sepenuhnya

Oleh Zareef Muzammil

SHAH ALAM, 26 FEB: Semua kawasan terjejas di Klang dan Petaling sudah menerima bekalan air sepenuhnya jam 6 pagi tadi, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berterima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja pembaikan sistem elektrikal di Rumah Pam Bukit Jelutong U8 di sini.

Pagi semalam, Air Selangor memaklumkan rumah pam di Bukit Jelutong mengalami kerosakan dan kerja pembaikan siap lebih awal iaitu jam 1.30 petang.

Susulan itu, sebanyak 41 kawasan di Klang dan Petaling terlibat dengan insiden berkenaan disalurkan air secara berperingkat.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter bagi mendapatkan maklumat rasmi gangguan atau hubungi talian 15300 jika terdapat pertanyaan dan aduan.

 


Pengarang :