Pekerja kontrak Rapid Bus Sdn Bhd (RAPID BUS) Muhammad NorHelmi Md Jawi melakukan rutin harian kerja-kerja semburan sanitasi dan nyahkuman bagi mengekang penularan wabak Covid-19 pada setiap bas yang digunakan selepas mengambil penumpang ketika tinjauan di Kompleks Rapid Bus Batu Caves pada 25 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Angka jangkitan melonjak lebih 2,000 kepada 27,179 kes, tahap serius tetap rendah

SHAH ALAM, 23 FEB: Jumlah jangkitan harian Covid-19 meningkat lebih 2,000 kes kepada 27,179 kes semalam selepas menurun sejak 21 Februari lalu.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 172 kes atau 0.63 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) pula merekodkan sebanyak 27,007 kes atau 99.37 peratus.

Sebanyak 51 kes atau 29.65 peratus daripada kategori 3, 4, 5 yang direkodkan membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, manakala 91 atau 52.91 peratus sudah menerima dua dos vaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori 1 : 7,792 kes (28.67 peratus)
Kategori 2 : 19,215 kes (70.70 peratus)
Kategori 3 : 102 kes (0.37 peratus)
Kategori 4 : 43 kes (0.16 peratus)
Kategori 5 : 27 kes (0.10 peratus)

“Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“KKM menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter.

Sementara itu, sebanyak 43 kes direkodkan meninggal dunia semalam, termasuk 20 kematian di luar hospital menjadikan keseluruhan jumlah terkumpul kematian kepada 32,433 kes

Ketika ini, 106 pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak menerima bantuan pernafasan dan 180 kes di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

Angka kes terkumpul setakat ini adalah 3,273,958.

Jumlah pesakit yang menjalani kuarantin di rumah sebanyak 254,520 atau 95.3 peratus.


Pengarang :