Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (SERVE) 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar kemuka usul bincang dakwaan Bank Negara amal rasuah, salah guna kuasa

SHAH ALAM, 28 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat bagi membincangkan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan institusi Malaysia rentetan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Usul kepada Yang di-Pertua Tan Sri Azhar Azizan Harun berikutan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat, yang mengaitkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua pembangkang itu menegaskan perkara tersebut perlu disegerakan kerana pembongkaran kes berkenaan kini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan kerajaan.

“Ini adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang ramai,” katanya di Facebook hari ini.

Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga gagal mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana rakyat Malaysia jika terbabit dalam transaksi kewangan tersebut.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari yang di-Pertua,” katanya menambah usul dibuat bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Leissner dalam keterangannya memberitahu BNM membenarkan pemindahan keluar wang AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI).

Bagaimanapun, BNM pada Khamis menjelaskan semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.


Pengarang :