Petugas kesihatan menunjukkan botol vaksin AstraZeneca di pusat pemberian vaksin di Kuala Lumpur pada 5 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

AstraZeneca penuhi komitmen hantar 6.4 juta dos vaksin ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 FEB: AstraZeneca hari ini menghantar 1,365,200 dos Vaksin Covid (ChAdOx1-S [Rekombinan]) ke Malaysia, menandakan kejayaan menyempurnakan komitmennya untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin di bawah Perjanjian Pembelian Lanjutan dengan kerajaan Malaysia.

Presiden AstraZeneca bagi Malaysia Dr Sanjeev Panchal berkata sehingga kini, lebih 9.2 juta dos vaksin AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia melalui bekalan terus, COVAX dan sumbangan dari negara lain, bagi menyokong program vaksinasi negara.

“AstraZeneca komited terhadap peranan kami dalam menyerahkan dos vaksin yang mengurangkan kemasukan ke hospital dan menyelamatkan nyawa.

“Memandangkan kemunculan Omicron dan cabaran dinamik yang dibawa oleh virus itu, kami akan terus menyokong kerajaan dan rakyat sepanjang perubahan pandemik itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AstraZeneca telah membekalkan lebih 2.5 bilion dos Vaksin Covid-19 kepada lebih 170 negara dengan kira-kira dua pertiga daripada dos tersebut ke negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

-BERNAMA


Pengarang :