Jemaah menunaikan solat Zuhur mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketika tinjauan di Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam pada 1 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Azan kembali bergema di Masjid Sri Muda lepas sebulan tutup akibat bah

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerinduan seorang bilal untuk melaungkan azan terubat apabila Masjid Sri Muda di sini yang terjejas banjir Disember lalu kembali dibuka kepada jemaah Isnin lepas.

Juhaizad Md Jaiz berkata masjid itu ditenggelami air melebihi paras dada sehingga permaidani di ruang solat dan sistem pembesar suara untuk melaungkan azan rosak.

“Lebih sebulan saya tidak dapat melaungkan azan kerana sistem pembesar suara rosak akibat banjir dan masjid turut terpaksa ditutup untuk proses membaik pulih.

“Alhamdulillah, Isnin lepas saya dapat melaungkan azan dan masjid sudah dibuka kembali untuk solat berjemaah seperti biasa,” katanya kepada Selangorkini.

Bilal 1 Masjid Taman Sri Muda Juhaizad Md Jaiz menunjukkan sistem pembesar suara baharu ketika tinjauan di institusi ibadat itu di Seksyen 25, Shah Alam pada 1 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Juhaizad yang berkhidmat sebagai bilal sejak 20 tahun lalu memaklumkan, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan untuk membeli sendiri kelengkapan sistem pembesar suara dengan kos kira-kira RM21,000 untuk melaungkan azan.

“Ini adalah inisiatif pihak pengurusan bagi membolehkan masjid kembali beroperasi,” katanya.

Jelasnya, pengurusan masjid juga mengupah kontraktor untuk mengecat semula dinding-dinding yang terkesan akibat banjir.

Sementara itu, jemaah Mohd Kassim Abdul Ghalim, 74, yang menetap di Sri Muda sejak 30 tahun lalu menceritakan tragedi banjir itu paling teruk sehingga masjid ditutup lebih sebulan.

“Penduduk berasa sedih kerana tidak dapat menunaikan jemaah seperti biasa. Namun syukurlah akhirnya masjid kembali dibuka dan Jabatan Agama Islam Selangor juga menukar permaidani baharu bagi keselesaan jemaah,” katanya.

Taburan hujan luar biasa di antara 100 milimeter (mm) ke 400 mm secara berterusan mengakibatkan kejadian banjir di 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam yang mana seramai 4,276 mangsa banjir berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara.


Pengarang :