Pemain beregu wanita negara Valeree Siow dan Pearly Tan beraksi ketika menentang pemain dari Jepun pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 15 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Badminton Asia: Pearly Tan hadiah kemenangan atasi Jepun buat Thinaah

SHAH ALAM, 16 FEB: Pemain beregu wanita negara Pearly Tan menghadiahkan kemenangan ke atas Jepun dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 kepada rakan gandingan M Thinaah yang tidak dapat bersama selepas disahkan positif Covid-19.

Pearly, 22, mengakui sedih walaupun berjaya menyumbang mata penyamaan untuk Malaysia dalam aksi pembukaan kumpulan Y di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini semalam.

“Thinaah ada hubungi saya dan dia sedih dengan apa yang berlaku. Saya pun terkejut sebaik dimaklumkan dia positif Covid-19.

“Namun, jurulatih cakap jangan banyak fikir, mesti berjuang untuk dapatkan mata buat pasukan. Jadi, perjuangan saya di gelanggang hari ini (semalam) adalah untuknya,” katanya kepada pemberita selepas Malaysia menundukkan Jepun 3 – 2.

Dalam perlawanan menentang Rui Hirokami-Yuna Kato, Pearly digandingkan sementara bersama Valeree Siow dan berjaya memberikan mata kedua Malaysia dengan keputusan 24-22, 21-18.

Valeree, 20, berkata banyak dipelajari ketika bermain dengan Pearly menentang lawan dari Jepun selain menjadi pengalaman bermakna buat dirinya.

“Cuma saya sendiri perlu lebih tenang dan kurang melakukan kesilapan,” katanya.


Pengarang :