Penduduk menaiki bot untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir semasa tinjauan di Kampung Teladas di sini hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa diminta patuhi SOP bagi bendung jangkitan Covid-19

KUALA KRAI, 26 FEB: Semua mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Kuala Krai di sini, dinasihatkan supaya tidak mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan penularan Covid-19 berikutan kes harian yang masih tinggi di Kelantan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata mangsa banjir diminta sentiasa berwaspada dengan menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sepanjang berada di PPS.

“Saya minta supaya mereka sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri, jaga had pergaulan semasa di PPS, patuhi arahan serta banyak bersabar dan solat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa PPS di sini seperti di Pejabat Veterinar, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak dan SK Banggol Guchil mendapati tahap pematuhan SOP sangat baik dan semua mangsa banjir yang ditempatkan berada dalam keadaan selesa.

Kebanyakan mereka akur dengan arahan pihak berkuasa supaya berpindah ke PPS demi keselamatan masing-masing, meskipun wujud rasa bimbang dijangkiti virus Covid-19.

Seorang mangsa banjir, Jamilah Salleh, 63, berkata melihat angka kes harian yang tinggi di Kelantan, sedikit sebanyak merisaukannya sepanjang berada di PPS.

“Walaupun SOP yang ditetapkan di PPS masih dilaksanakan tetapi dengan keadaan sebegini (kes yang masih tinggi) saya harap tiada penularan Covid-19 di sini,” kata peniaga santan itu ketika ditemui di PPS Pejabat Veterinar di sini, hari ini.

Seorang suri rumah, Ruhayati Abd Rahman, 58, yang ditempatkan di PPS yang sama berkata beliau dan keluarga terpaksa akur untuk berpindah meskipun pada awalnya agak keberatan kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-19.

“Saya sekeluarga tidak boleh buat apa-apa selain perlu segera berpindah ke PPS kerana trend air di sekeliling rumah semakin naik sejak malam tadi, saya hanya bertawakal kepada Allah supaya dijauhi daripada wabak itu,” katanya yang melapor diri di PPS tersebut pada pukul 7.30 pagi tadi.

Semalam, jumlah harian Covid-19 di Kelantan mencatatkan 1,836 kes dengan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) adalah 1.14.

– BERNAMA


Pengarang :