Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan bah: 61,282  keluarga terima RM1,000 setakat hari ini

SHAH ALAM, 9 FEB:  Seramai 61,282 keluarga terjejas banjir pada Disember lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat hari ini

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM61.412 juta dibelanja untuk sumbangan melalui inisiatif Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Katanya daripada jumlah itu daerah Klang mencatat peningkatan RM2.873 juta dengan jumlah penerima akan terus meningkat.

Menurut infografik dikongsi beliau di Facebook, seramai 13 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Klang paling ramai menerima sumbangan membabitkan 16,843 isi rumah diikuti Petaling (15,435), Kuala Langat (9,079), Hulu Langat (7,834), Sepang (6,273), Kuala Selangor (4,791), Gombak (893), Hulu Selangor (94) dan Sabak Bernam (40).

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

 


Pengarang :