Penyerahan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MBSA Jalan Kebun, Shah Alam pada 10 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Bantuan bah kepada penduduk Seksyen 15, 16 selesai bulan ini

SHAH ALAM, 12 FEB: Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000 untuk mangsa banjir sekitar Seksyen 15 dan 16 di sini dijangka selesai bulan ini.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Zon 5 Majlis Bandaraya Shah Alam S Sarawanan meminta mangsa bersabar berikutan ratusan permohonan perlu diteliti.

“Dalam kawasan kendalian saya seramai 200 mangsa layak menerima BSB. Setakat ini 30 peratus sudah terima dan kita harap baki dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Malam Irama dan Pertandingan Tradisional India sempena perayaan Hari Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman Ken Rimba di sini hari ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

 


Pengarang :