Selangorkini
Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan mangsa bah Klang diagih setiap hari, selesai bulan ini

KLANG, 4 FEB: Proses agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir sekitar Klang dibuat setiap hari mulai Isnin membabitkan 2,000 penerima.

Langkah itu bagi memastikan penduduk yang layak segera menerima manfaat, yang dijangka selesai bulan ini, kata Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji.

Jelasnya, kelewatan sebelum ini berpunca daripada permohonan bertindih selain wujud pihak mengambil kesempatan yang turut berlaku ketika agihan bantuan kerajaan persekutuan.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji bercakap kepada Media Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 4 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Permohonan ditutup pada 31 Januari lalu dan kita terima 73,000 borang. Setakat ini, 50,551 layak menerima bantuan manakala seramai 13,097 mangsa sudah dapat manfaat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata bantuan itu diberikan kepada mangsa yang terjejas kediaman sahaja, bukan kenderaan atau premis perniagaan selain permohonan hanya untuk ketua isi rumah.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang cuba ambil kesempatan, namun setakat ini kita tidak lakukan. Kita harap semua jujur dan bersabar,” kata Mohd Faizal.

Tambahnya, proses semakan bantuan boleh dibuat melalui laman web Pejabat Daerah dan Tanah Klang dari semasa ke semasa.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memohon maaf atas kelewatan agihan BSB akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM55.555 juta juta bagi membantu penduduk termasuk sumbangan RM10,000 kepada 13 waris korban bencana.


Pengarang :