Pemain beregu M. Thinaah menjalani tempoh pengasingan diri selepas disahkan positif Covid-19 . Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

BATC: Pemain badminton kebangsaan M Thinaah positif Covid-19

SHAH ALAM, 15 FEB: Pasukan badminton wanita negara menerima tamparan hebat menjelang perlawanan pembukaan menentang penyandang juara, Jepun dalam Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 di sini, lewat hari ini, setelah pemain beregu M. Thinaah disahkan positif Covid-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook hari ini memaklumkan bahawa pemain berusia 24 tahun itu, tidak menunjukkan sebarang gejala dan sedang menjalani tempoh pengasingan diri mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta protokol Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai kuarantin.

Bagaimanapun, pasangan Thinaah, Pearly Tan disahkan negatif daripada virus itu.

“Mengikut SOP Kejohanan BATC 2022 mengenai Protokol Covid, ujian RT-PCR wajib dijalankan terhadap kontak rapat Thinaah, Pearly Tan disahkan negatif.

“Semua orang dalam persatuan mendoakan agar Thinaah cepat sembuh,” menurut hantaran itu.

BATC 2022 yang membuka tirainya di Pusat Konvensyen Setia City hari ini akan diadakan sehingga Ahad (20 Feb).

– BERNAMA


Pengarang :