Notis waktu operasi kaunter khidmat pelanggan Air Selangor. Foto Twitter Air Selangor
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Bekalan air di 23 kawasan di Kuala Selangor dijangka pulih 3 petang

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 23 kawasan di Kuala Selangor dilaporkan mengalami gangguan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah di Jalan Batang Berjuntai, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air terpaksa dilakukan mulai jam 3.10 pagi tadi bagi kerja pembaikan.

“Sehingga 11 pagi tadi, kerja pembaikan giat sudah mencapai 70 peratus dan dijangka selesai jam 3.10 petang ini.

“Segala tindakan sewajarnya sudah diambil bagi mempercepatkan proses pembaikan,” kata Air Selangor dalam kenyataan di aplikasinya.

Antara kawasan terbabit Pekan Batang Berjuntai, Taman Pancaran, Taman Sri Indah, Taman Pelangi, Taman Kilauan, Taman Sri Cahaya, Taman Cahaya Indah, Jalan Rawang, Kampung Asahan, Kampung Tanjung Siam, Kampung Kuantan, Teluk Penyamun, Kampung Sepakat, seluruh Bukit Rotan, Kampung Api-Api dan Taman Bendahara.

Turut terjejas, Taman Telaga Tujuh, Taman Paduka, Taman Sri Piai, Taman Sirambai, Taman Kuala Selangor Utama, Taman Kuala Selangor Jaya dan Assam Jawa.

Sementara itu, Air Selangor mengumumkan bahawa kaunter khidmat pelanggan akan beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari mulai 21 Februari lalu hingga 7 Mac depan.

“Kami ingin menggalakkan pelanggan untuk berurusan secara dalam talian bagi pembayaran bil air, permohonan pertukaran hak milik dan hal-hal berkaitan. Langkah ini dapat mengurangkan penyebaran dan risiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook.


Pengarang :