Peniaga Azmi Zainal, 53, menyiapkan tempahan pelanggan ketika tinjauan Media Selangor pada Program Jualan Ayam Murah di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 12 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekalan ayam, telur dijangka stabil dalam tempoh empat bulan

PORT DICKSON, 15 FEB: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan bekalan ayam dan telur di pasaran mampu distabilkan dalam tempoh empat bulan bagi memenuhi permintaan dalam negara, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata ia berikutan pelbagai insentif dan subsidi diberikan kepada pemain industri terutama penternak dalam menstabilkan pengeluaran bekalan ayam dan telur sekali gus meringankan beban mereka menghadapi peningkatan kos termasuk bahan mentah.

“Subsidi baru diumumkan minggu lepas dan sedang dalam proses pengaturan dengan pihak industri, kerajaan mendengar masalah yang dihadapi dan telah ambil tindakan bagi menampung sedikit implikasi kenaikan kos pengeluaran bekalan makanan negara.

“Kita beri tempoh empat bulan, ayam kalau kita nak ternak kena ambil masa 30 hingga 40 hari, jadi ia perlukan masa (untuk stabilkan bekalan ayam dan telur),” katanya kepada pemberita selepas program penubuhan Pasukan Sokongan Tindak Balas Kecemasan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (CDERT FAMA) di sini hari ini.

Program dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Pada 9 Feb lepas, Kabinet dilaporkan bersetuju memberikan subsidi 60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard RM8.90 per kg manakala 5 sen bagi setiap biji telur semua jenis kategori sehingga 4 Jun depan.

Beliau berkata MAFI juga telah membuat sesi libat urus bersama pengusaha dan penternak selepas pengumuman subsidi itu dengan mereka memberikan jaminan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan ayam dan telur seperti sedia kala sekali gus mampu memenuhi keperluan dalam negara.

Dalam pada itu, Ronald sekali lagi menegaskan langkah kerajaan membenarkan pengimportan bekalan ayam bulat dari luar negara adalah bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan ayam dalam pasaran sehingga ia kembali stabil.

“Kita dah buka bukan sahaja kepada pengimport luar tetapi dalam kalangan pengusaha pasar raya (import).. sebulan dua kebelakangan ini kita lihat bekalan kurang sebab itu kita benarkan import, bila pengeluaran (dalam negara) stabil kita akan hentikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata usaha MAFI melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT adalah bertepatan dan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguat kuasa semata-mata.

Beliau berkata petugas FAMA yang diberi tanggungjawab sebagai penyedia kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) apabila berlaku sesuatu bencana memerlukan kakitangan terlatih untuk membantu menyalurkan bantuan kecemasan kepada kumpulan sasar yang terlibat.

“Latihan ini juga merupakan salah satu elemen yang dapat meningkatkan mutu penyampaian peranan FAMA sebagai agensi pelaksana dalam pemantapan jaminan bekalan makanan semasa krisis dan bencana,” katanya.

Siri pertama CDERT FAMA dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) bermula pada 29 Nov 2021 dengan penyertaan 44 kakitangan FAMA manakala siri kedua (34) dan siri ketiga seramai 164 individu dengan latihan dijalankan di Institut Latihan FAMA, Port Dickson.

-BERNAMA


Pengarang :