Orang ramai membeli ayam pada program jualan murah melalui Lori Ehsan di Pangsapuri Sri Jati, Puchong pada 17 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bilangan Lori Ehsan ditambah, mudahkan penduduk beli barangan asas murah

SHAH ALAM, 17 FEB: Dua lagi pasar bergerak menggunakan Lori Ehsan beroperasi bulan depan bagi memudahkan masyarakat membeli ayam dan barangan asas lain pada harga murah.

Penjual Mohd Hasri Abu Hassan berkata ketika ini hanya satu lori digunakan bagi menjual keperluan tersebut menyebabkan Program Intervensi Harga Ayam dan Telur terhad.

“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan tambah dua lagi (Lori Ehsan) supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat.

Ellamah a/p Annamalai, 65 memilih ayam segar pada program jualan murah di Pangsapuri Sri Jati, Puchong pada 17 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Setakat ini, kami menerima sambutan menggalakkan malah penduduk minta supaya lebih kerap pasar berada di kawasan mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Hari ini, Lori Ehsan berada di Pangsapuri Sri Jati, Puchong menjual ayam dengan harga RM8 sekilogram selain telur, sayuran dan buah-buahan lebih murah berbanding pasaran.

Tawaran mulai 14 Februari sehingga 30 Mac dibuat di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta diperluas ke seluruh negeri jika terus mendapat sambutan.


Pengarang :