Semua Kakitangan di empat kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Presint 4 diarahkan mengosongkan bangunan susulan gegaran yang berlaku hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba Negeri Sembilan terima dua laporan rekahan kecil struktur bangunan

SEREMBAN, 25 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menerima dua laporan rekahan kecil pada struktur bangunan di negeri ini akibat gegaran daripada gempa bumi kuat yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri Penguasa Kanan Bomba II Zamhuri Zainnordin berkata ia melibatkan tingkat lapan sebuah hospital swasta di sini dan tingkat satu Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, dekat sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami telah melaksanakan kerja pengungsian dan pemeriksaan struktur pada bangunan berkenaan bagi memastikan tiada bahaya lain yang berlaku.

“Daripada pemeriksaan itu, kami dapati keadaan rekahan itu tidaklah kritikal, hanya rekahan kecil dan struktur bangunan berada dalam keadaan selamat, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaporkan gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera pada pukul 9.39 pagi tadi diikuti gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter pada 12.02 tengah hari.

Gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Selain Negeri Sembilan, antara negeri yang dilapor turut merasai gegaran ialah Pahang, Putrajaya, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

– BERNAMA


Pengarang :