Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kajang bersama beberapa agensi lain menyusun semula kemudahan di Pusat Kuarantin Dewan A Maeps Serdang pada 23 Februari 2022. Foto Faecbook Majlis Perbandaran Kajang
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Jangkitan harian terus melonjak, rekod angka tertinggi 32,070 kes

SHAH ALAM, 25 FEB: Kadar jangkitan harian Covid-19 merekodkan 32,070 kes semalam, mengatasi angka tertinggi 31,199 yang dicatatkan kelmarin.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 masih rendah iaitu 180 kes (0.56 peratus) manakala kategori satu (tanpa gejala) dan dua (gejala ringan) merekodkan 31,890 kes (99.44 peratus)

Daripada 180 kes kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 49 kes (27.22 peratus) tidak divaksin atau belum lengkap vaksin, 93 kes (51.67 peratus) telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak, 38 kes (21.11 peratus) menerima dos penggalak.

Selain itu, 83 kes (46.11 peratus) melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas, 89 kes (49.44 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (0.56 peratus) ibu mengandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

  • Kategori 1: 8,216 kes (25.62 peratus)
  • Kategori 2: 23,674 kes (73.82 peratus)
  • Kategori 3: 95 kes (0.30 peratus)
  • Kategori 4: 46 kes (0.14 peratus)
  • Kategori 5: 39 kes (0.12 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti 3,337,227 kes.

“Jumlah keseluruhan jangkitan aktif di negara ini berjumlah 286,521 kes. Daripada jumlah ini 273,999 sedang menjalani kuarantin di rumah manakala  4,356 ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah.

“Selain itu 8,039 kes menerima rawatan di hospital, 126 kes di unit rawatan rapi tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan manakala 201 kes memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

 

 

 


Pengarang :