Keadaan wad pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur selepas penurunan kes tahap 4 dan 5 yang memerlukan bantuan pernafasan pada 15 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar guna katil ICU di Putrajaya, Labuan, sembilan negeri bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta sembilan negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 23 Februari kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa Covid-19 hari ini berkata negeri terbabit adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Bagi katil kes kritikal atau ICU, lima negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan dengan 83 peratus, Kuala Lumpur dan Johor masing-masing 65 peratus, Melaka (58 peratus) dan Perlis (55 peratus).

“Bagi katil bukan ICU, 12 negeri menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan (101 peratus), Selangor (97 peratus), Perak (90 peratus), Kuala Lumpur (87 peratus), Perlis (81 peratus), Putrajaya (77 peratus), Johor (75 peratus), Pahang dan Sabah masing-masing 71 peratus manakala Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak masing-masing 52 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 31,199 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,305,157 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,804 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 194 kes atau 0.62 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 31,005 kes atau 99.38 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 194 kes bagi kategori tiga, empat dan lima, 153 daripadanya adalah tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi atau telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 20,399 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,994,840.

Dalam pada itu, beliau berkata individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir janji temu tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,”katanya.

-BERNAMA


Pengarang :