Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyampaian Surat Tawaran Boleh Ubah Dalam Negara di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Selangor tidak tutup sektor ekonomi, tumpu pematuhan SOP

SHAH ALAM, 8 FEB: Selangor tidak akan menutup mana-mana sektor susulan kenaikan kes Covid-19 ketika ini, sebaliknya keutamaan mengingatkan masyarakat untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangkitan wabak masih boleh dikawal selain kadar suntikan vaksin populasi dewasa dan remaja yang tinggi di negeri ini.

Beliau menjelaskan jumlah penggunaan katil di hospital juga terkawal berbanding September dan Oktober tahun lalu serta menasihati individu yang dijangkiti segera menjalani kuarantin.

“Penguatkuasaan terhadap SOP harus kembali dijadikan keutamaan. Penutupan bukan pilihan untuk kita lakukan dalam mana-mana sektor kecuali situasi parah.

“Dulu kematian hampir cecah 190 hingga 200 orang, sekarang dalam sembilan orang. Isunya sekarang bagaimana untuk ingatkan rakyat supaya mematuhi SOP,” katanya selepas menyerahkan surat tawaran pinjaman boleh ubah dalam negara di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menyuarakan kebimbangan terhadap penularan jangkitan dalam kalangan individu yang menggunakan sijil digital vaksin Covid-19 palsu.

“Susulan itu, kita minta Kementerian Kesihatan Malaysia semak sama ada mereka turut terjangkit dan kesannya kerana individu lengkap dos terima kesan minimum,” katanya lagi.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini merekodkan lonjakan ketara sejak pertengahan minggu lepas sehingga 13,944 kes, jumlah tertinggi tahun ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini menjangka kes harian Covid-19 dalam negara mencecah 15,000 kes tidak lama lagi susulan gelombang Omicron.


Pengarang :