Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor melakukan rondaan dan siasatan aduan di sekitar kawasan perindustrian Gombak, Petaling Jaya, Johan Setia dan Sepang pada 19 Februari 2022. Foto : Facebook Jabatan Alam Sekitar
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua kilang gagal urus sisa kena kompaun RM16,000

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan kompaun RM16,000 terhadap dua kilang di Petaling Jaya dan Sepang kelmarin, ekoran gagal menguruskan sisa dengan betul.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan tindakan itu diambil selepas penguat kuasa melakukan rondaan dan siasatan aduan di sekitar kawasan perindustrian Gombak, Petaling Jaya, Johan Setia dan Sepang.

“Premis dikompaun itu adalah kilang yang menghasilkan produk kecantikan dan membiarkan loji rawatan air sisa beroperasi tanpa pengawasan serta tidak melabelkan bekas buangan terjadual.

“Sebuah lagi di Sepang yang gagal menguruskan buangan terjadual dengan baik,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, JAS Selangor turut menyiasat aktiviti pembakaran terbuka di Bukit Kemuning, di sini dan mendapati terdapat kesan kabel getah terbakar di kawasan perumahan terbabit.

Jelasnya, tindakan amaran dan kompaun sudah dikeluarkan kepada pelaku.

“Seterusnya, siasatan turut dijalankan terhadap kes pembakaran terbuka sampah haram di Jalan Bukit Kemuning dan mendapati terdapat pembakaran terbuka sisa sampah yang dibakar di atas tanah lapang,” ujarnya.

Justeru, JAS Selangor berharap orang ramai dapat melaporkan kes pencemaran kepada pihaknya di talian bebas tol :1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].

Orang ramai juga boleh melaporkan kes yang melibatkan pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol 1-800-88-994 dan SMS 03-88880964.


Pengarang :