Anggota bomba mengawal kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 2 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

EXCO: Cuaca panas mulai Mac, sedia tangani kebakaran hutan

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Negeri merangka tatacara operasi piawai (SOP) baharu untuk menangani isu pembakaran khususnya di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di Klang serta Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS).

EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian berkata penetapan SOP dibincangkan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 1 Mac sebagai persediaan menghadapi cuaca panas

“Kita jangka akan berdepan dengan cuaca panas menjelang Mac, April, Julai dan Ogos. Oleh demikian, mesyuarat ini diadakan untuk menangani isu yang akan dihadapi nanti.

“Perlu ada persediaan dan kita pastikan telaga tiub dapat membekalkan air untuk digunakan memadam api sekiranya berlaku kebakaran di beberapa lokaliti tertentu,”katanya.

Loy Sian berkata setakat ini pihaknya ada menerima laporan kebakaran di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di Klang namun tidak serius.

Pada 13 Ogos tahun lalu, kerajaan Negeri melalui JAS mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) susulan isu berkaitan di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia di Klang.

Loy Sian memaklumkan SOP pencegahan kebakaran tanah gambut bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan turut diperkenalkan dalam menangani pembakaran terbuka.

JAS mengisytiharkan seluruh Selangor, Pahang dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka oleh JAS berkuat kuasa 3 Mac tahun lalu sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian di bawah peruntukan Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.


Pengarang :