Kerja pembersihan pascabanjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

EXCO: Hampir RM20 juta dibelanja laksana operasi bersih pascabanjir

SHAH ALAM, 18 FEB: Hampir RM20 juta dibelanjakan Kerajaan Selangor setakat ini bagi melaksanakan operasi pembersihan pascabanjir fasa satu dan dua.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata peruntukan itu termasuk mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir.

“Kita belum tahu berapa banyak sudah dibelanjakan setakat ini, kemungkinan hampir RM20 juta sudah diguna termasuk yang akan diberikan kepada KDEB Waste Management, pihak berkuasa tempatan dan Worldwide Holdings.

“Kita bayar kepada Worldwide Holdings kerana sejak pembersihan banjir mereka terpaksa mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga merancang memperluaskan longkang dan meninggikan ban di beberapa kawasan terjejas bagi mengurangkan risiko banjir pada masa datang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.


Pengarang :