Skuad badminton negara meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 20 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Kejohanan badminton Asia semarak semangat kesukanan, perpaduan rakyat

SHAH ALAM, 21 FEB: Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berakhir semalam mampu menyemarakkan semangat kesukanan serta mengukuhkan perpaduan rakyat negeri ini.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kejohanan yang mengangkat pasukan lelaki negara sebagai juara itu juga mampu menaikkan nama Selangor di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, RSM Sport, Invest Selangor, Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI, Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Terima kasih juga kepada penaja korporat, jawatankuasa pengelola tempatan dan semua pihak yang menjayakan kejohanan berprestij ini,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kejohanan enam hari bermula Selasa di Pusat Konvensyen Setia City Alam skuad wanita negara sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas tewas 0-3 kepada Korea Selatan.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan BAM.

Perlawanan disertai 142 atlet lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.


Pengarang :