Beberapa kenderaan meredah banjir di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

EXCO: Langkah menyeluruh atasi banjir Selangor dibentang bulan ini

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerja melibatkan kolam, saliran dan lokasi pelepasan air bagi mengatasi banjir menjadi fokus dalam pembentangan program pemukiman EXCO pada 23 hingga 25 Februari di Langkawi, Kedah.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata tindakan terhadap tiga komponen menjadi langkah jangka panjang dan menyeluruh mengurangkan risiko banjir atau memastikan ia tidak berulang lagi.

“Dato’ Menteri Besar minta saya bentangkan jalan penyelesaian menyeluruh termasuk sumber air. Kita dapatkan input dari semua pihak supaya tidak ketinggalan dalam mencari penyelesaian.

“Antaranya JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), LUAS (Lembaga Urus Air Selangor), Jabatan Mineral dan Geo Sains, Landasan Lumayan yang mengurus Sungai Klang serta pakar saliran bawah tanah,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian bantuan pascabanjir kepada lebih 700 kakitangan jabatan dan agensi bawah jawatankuasa tetap infrastruktur di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, seramai 13 individu turut terkorban.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.


Pengarang :