EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tengah) menyerahkan permit penjaja sementara kepada Nadirah Nahar, 48, sambil di saksikan ADN Taman Templer, Sany Hamzan (kanan) di Kampung Selayang Indah, Gombak pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

EXCO: Lebih 10,000 peniaga terima lesen sementara, galak lebih ramai mohon

KLANG, 21 FEB: Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19 untuk menjalankan perniagaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata inisiatif tersebut adalah bukti Kerajaan Negeri sentiasa membantu serta memudahkan individu menjalankan perniagaan di tempat sesuai dan selamat.

“Kita mengalu-alukan peniaga kecil, peniaga di tepi jalan dan mereka yang berhasrat memulakan perniagaan memohon lesen sementara.

“Mereka hanya perlu datang ke pejabat PBT (pihak berkuasa tempatan) atau berjumpa ahli majlis. Pihak bertanggungjawab sedia membantu memberikan lokasi yang selamat dan sesuai,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Pada 17 Disember lalu, Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil untuk enam bulan lagi sehingga Jun tahun depan.

Sze Han berkata inisiatif itu sepatutnya tamat bulan ini namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen dan golongan terkesan pandemik bermula sejak Ogos tahun lalu. PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.


Pengarang :