Anggota Rela menjaga laluan masuk dan keluar bagi memastikan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di Bazar Ramadan Taman Delima, Kajang pada 14 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: PBT diminta tambah lokasi bazar Ramadan, elak sesak pengunjung

KLANG, 21 FEB:  Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengenal pasti lebih banyak lokasi bazar Ramadan serta tidak menumpukan satu kawasan sahaja bagi mengelak kesesakan pengunjung.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah tersebut bagi memudahkan pemantauan serta memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Lokasi-lokasi tersebut perlu dikenal pasti supaya dapat menentukan jumlah sebenar lokasi strategik untuk bazar Ramadan untuk mengurangkan kepadatan pengunjung.

“Kita memerlukan bantuan daripada PBT kerana mereka mempunyai maklumat dan kesesuaian lokasi untuk bazar Ramadan. Mungkin ada penambahan berbanding tahun lalu iaitu 11,773 tapak.

“Perkara paling utama kita mahu membantu peniaga dan pada masa sama memastikan SOP dipatuhi. Setakat ini, kita tidak dapat tentukan jumlah kerana terdapat permohonan bazar yang masih dibuka” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini.

Bagaimanapun beliau berkata SOP bazar tersebut akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.


Pengarang :