Anggota Sukarelawan Selangor (SERVE) giat menjalankan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Bukit Lanchong, Subang Jaya. Foto Facebook Penggerak Belia Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Sukarelawan Selangor umpama bot kecil selamatkan mangsa di tengah bencana

SHAH ALAM, 6 FEB: Sukarelawan Selangor (SERVE) yang ditubuh tahun lalu memainkan peranan penting dalam menangani bencana termasuk membendung penularan Covid-19 dan membantu mangsa banjir pada Disember lalu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata sumbangan sukarelawan termasuk mahasiswa yang menyertai SERVE amat dihargai Kerajaan Negeri.

“SERVE berkhidmat tanpa mengira waktu dan bencana. Bukan hanya ketika banjir pada bulan lalu tetapi juga sejak penularan Covid-19.

“Pasukan ini menjadi ‘bot kecil’ selamatkan rakyat ketika bencana,” katanya dalam Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor di bangunan pentadbiran negeri di sini petang ini.

Lebih 700 ahli SERVE dirai dalam program berkenaan. Mereka turut dihiburkan persembahan kumpulan Gerhana Skacinta dan pemain gitar terkenal Joe Wings.

Dalam majlis sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melancarkan pasukan sukarelawan Khidmat Untuk Malaysia bagi membantu rakyat yang ditimpa bencana.


Pengarang :