Ahli Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) parlimen Kuala Selangor, Datin Seri Azlin Hezri (kanan) merasmikan Pasar Seni Genta sambil disaksikan Pengarah Galeri Shah Alam, Alina Abdullah (kiri) di perkarangan Laman Budaya Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Galeri Shah Alam bakal anjur Pasar Seni Genta setiap bulan

SHAH ALAM, 26 FEB: Pasar Seni Genta bakal diadakan pada minggu keempat setiap bulan, jika perbincangan mengenai hasrat itu mendapat sokongan pihak berkaitan.

Galeri Shah Alam berkata program itu diharap dapat membantu memulihkan industri kreatif yang terjejas susulan wabak Covid-19.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata perbincangan dengan Rumah Seni Selangor (RUSSEL) sedang berlangsung susulan sambutan menggalakkan pada penganjuran sulung hari ini.

“Kita tidak jangka ramai pengunjung yang memeriahkan program ini walaupun kali pertama ia diadakan. Insya-Allah, penganjuran selepas ini akan mengetengahkan pengisian hampir sama.

“Hebahan kepada penggiat seni dan kraf juga akan dilaksanakan supaya mereka sama-sama terbabit dalam acara ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam di sini.

Ketika ditemui, seorang pemuisi, Syahirah melahirkan rasa gembira kerana masih berpeluang mengadakan persembahan selepas tidak dapat berbuat demikian akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pada program itu, beliau mempersembahkan puisi bertajuk ‘Hilang’ dan ‘I was Always The Middle Men’.

Acara yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 9 malam menawarkan jualan pelbagai barangan seni dan kraf, buku, makanan dan minuman dalam usaha menjana ekonomi masyarakat setempat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Galeri Shah Alam melalui pautan https://galerishahalam.com/.


Pengarang :