Pelancong mengunjungi Langkawi di bawah Program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi yang bermula 15 November lalu ketika tiba di Balai Ketibaan semasa tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi dilanjut sehingga sempadan negara dibuka

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilanjutkan sehingga sempadan negara dibuka dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikemas kini, berkuat kuasa 16 Februari.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 pada 8 Februari lepas.

“SOP kemasukan pengembara asing ke Malaysia melalui LITB telah diselaraskan mengikut ketetapan dan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan telah diwartakan pada 16 Februari 2022. SOP ini akan menjadi penanda aras terhadap SOP pembukaan sempadan kelak,” menurut kenyataan itu.

Antara SOP adalah pelancong yang telah menerima dos penggalak dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari kelima sekiranya jika ujian tindak balas rantai polimerase masa nyata (RT-PCR) Covid-19 pada hari keempat negatif atau kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 pada hari kelima negatif.

Selain itu, kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah boleh melancong bersama ibu bapa atau penjaga yang telah divaksin tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi manakala kanak-kanak di bawah umur dua tahun tidak perlu menjalani saringan Covid-19.

SOP itu juga menetapkan pelancong asing diwajibkan membeli polisi insurans bernilai US$50,000 bagi Covid-19 dan pengembaraan serta syarat ini dikecualikan bagi warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara.

Kementerian berkenaan turut memaklumkan penerbangan masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi LTIB dibenarkan bermula 22 Februari depan.

Kenyataan itu memaklumkan LITB dilaksanakan bermula 15 November 2021 sebagai projek rintis untuk tempoh tiga bulan.

“Projek rintis ini telah menguji kesediaan dan kesiapsiagaan ekosistem pelancongan negara, khususnya penggiat-penggiat industri pelancongan serta pekerja-pekerja di barisan hadapan untuk menerima kedatangan pelancong asing ke Malaysia secara berperingkat dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan sama berkata keputusan itu diharap mendapat sambutan baik daripada pengunjung antarabangsa yang berhasrat untuk datang ke Malaysia melalui LITB pada masa ini.

– BERNAMA


Pengarang :