Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk kepada penyanyi tersohor tanah air Datuk Abdul Hail Amir pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Hail Amir dikurnia darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah, bawa gelaran Datuk

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Penyanyi dan pelakon popular 70-an Hail Amir menyifatkan pengurniaan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) kepadanya yang membawa gelaran Datuk, merupakan satu pengiktirafan terindah sepanjang lebih 50 tahun menghambakan diri dalam dunia seni tanah air.

Beliau yang popular dengan lagu “Wajah Kesayangan Hamba” itu berkata kurniaan tersebut adalah satu penghargaan dan ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat setianya selama ini.

“Saya rasa amat terharu dengan penganugerahan ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang masih mengingati dan meminati insan bernama Hail Amir ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Karier seni Hail bermula sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 70-an.

Beliau kemudian ditawarkan watak utama dalam filem pertamanya “Jiwa Remaja” di samping Uji Rashid dan Datuk Yusof Haslam. Antara filem lain yang dilakonkannya ialah “Menanti Hari Esok”, “Ribut Barat” dan “Anita Dunia Ajaib”.

Bakat beliau dalam bidang seni suara pula dikesan oleh komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab sehingga lahirnya lagu popular “Wajah Kesayangan Hamba”.

Bapa kepada empat cahaya mata berasal dari Pulau Pinang itu kini masih aktif memenuhi undangan nyanyian.

Sepanjang penglibatan dalam dunia seni, Hail telah menghasilkan 12 album selain turut terkenal dengan nyanyian bersama rakan duetnya, Uji Rashid.

Antara lagu popular pasangan duet itu ialah “Menunggu Nasi Minyak”, “Antara Matamu dan Mataku”, “Asmara Bergelora” dan “Seloka Hari Raya”.

Pada istiadat di Istana Negara pagi tadi, Hail bersama 58 individu lain menerima darjah kebesaran PMW yang membawa gelaran “Datuk” sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

Turut menerima PNW ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly dan bekas atlet terjun negara Leong Mun Yee.

– BERNAMA


Pengarang :