Penerima mengambil bantuan banjir ketika program Serahan Bantuan Banjir DUN Meru di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir semua mangsa bah terima bantuan RM1,000 Kerajaan Negeri

GOMBAK, 2 FEB: Hampir semua mangsa di daerah yang terjejas banjir telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kecuali Klang dan Petaling.

Dato’ Menteri Besar mengakui pihaknya menerima rungutan dan mengambil maklum balas segera bagi mempercepatkan proses pemberian di kawasan berkenaan.

“Petaling dan Klang mempunyai jumlah yang ramai dan giliran yang masih belum sampai sebab kita ada kapasiti tertentu pengeluaran dan kapasiti tertentu untuk pemberian.

“Jadi ia menyebabkan sedikit lambat tetapi selepas kita akan percepatkan. Kebetulan jumlah penerima dan pemohon adalah tinggi. Setakat ini kita terima lebih 100,000 pemohonan dan semakan itu menjadi sedikit lambat,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina di beberapa rumah kenalan di kawasan Sungai Tua di sini.

Setakat jam 10 pagi tadi sejumlah RM55.041 juta dibelanjakan untuk Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 54,911 keluarga yang terjejas akibat banjir dengan setiap mereka menerima RM1,000.

“Selain itu, 13 keluarga mangsa yang meninggal dunia masing-masing menerima bantuan berjumlah RM10,000,” katanya menerusi Facebook.


Pengarang :