Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (kiri) menyuntik vaksin kepada Abdul Muid Aufa Muhamad Ridhwan Pang, 12, dalam Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada 16 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya lapan kes kanak-kanak divaksin alami kesan sampingan ringan

KOTA BHARU, 16 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima lapan laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bermula pada 3 Feb lepas dengan kesemuanya mengalami kesan sampingan ringan termasuk bengkak pada bahagian bahu selepas menerima vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jumlah itu membabitkan hanya 0.006 peratus daripada keseluruhan 246,868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah diberikan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

“Apabila laporan AEFI dibuat kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kita akan melakukan catatan. Malah, kita juga telah memaklumkan sebelum ini apa-apa kesan yang berkaitan vaksin COVID-19, penerima boleh buat laporan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini. Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) berkata setakat ini, peratusan pemberian vaksin menerusi PICKids di seluruh negara masih rendah dengan hanya merekodkan sekitar tujuh peratus. 

Beliau berkata Melaka mencatatkan peratusan pemberian vaksin tertinggi kepada kanak-kanak dengan 16.1 peratus diikuti Sarawak 13.99 peratus selain Kelantan berada dalam kelompok negeri terendah iaitu sekitar 1.18 peratus. 

Dr Noor Azmi berkata pihaknya menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak termasuk 2.7 juta yang bersekolah akan menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Kita menyeru kepada semua ibu bapa agar mengambil keputusan yang bertanggungjawab dengan menghantar anak-anak mereka menerima suntikan demi melindungi kesihatan,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata setakat tahun lepas, 278,000 kanak-kanak dan remaja di bawah 17 tahun telah dijangkiti COVID-19 dengan 63 daripada jumlah itu dilaporkan meninggal dunia.

— BERNAMA

 


Pengarang :