Pengarah Eksekutif Hijrah Selangor Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor melihat produk keluaran usahawan Hijrah Mahmud Mastam ketika Kembara Sukses Hijrah Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah kutip semula pinjaman RM82 juta, lebihi sasaran

SHAH ALAM, 9 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya mengutip semula bayaran pinjaman RM82 juta, melebihi sasaran RM79 juta pada tahun lalu.

Pengarah eksekutifnya berkata jumlah itu bukti semua usahawan bertanggungjawab melunaskan pinjaman di sebalik cabaran pandemik Covid-19 sejak 2020.

“Peminjam perlu bayar semula kerana ia dapat digunakan untuk membantu usahawan lain,” kata Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor selepas mengunjungi tiga usahawan Hijrah semalam.

Beliau berkata yayasan itu juga menawarkan pelan pemulihan pembiayaan kepada usahawan yang gagal membayar semula pinjaman atau terkesan dalam aktiviti perniagaan.

“Saya mengarahkan kakitangan berjumpa semula dengan mereka dan membantu termasuk menyuntik pinjaman untuk memulakan perniagaan baharu,” katanya lagi.

Pelan pemulihan pembiayaan dibuka sepanjang masa bagi membantu usahawan Hijrah yang berdepan kekangan membayar balik pinjaman susulan Covid-19.

Pegawai kutipan di 20 cawangan Hijrah akan menyemak senarai nama yang mempunyai tunggakan sebelum menghubungi dan menawarkan inisiatif tersebut.


Pengarang :