Kira-kira 20 kenderaan rosak dihempap pokok dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Cyber Valley, Dengkil pada 21 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat berserta ribut, 20 kenderaan rosak dihempap pokok

DENGKIL, 21 FEB: Kira-Kira 20 buah kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley di sini rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat hari ini.

Insiden pada kira-kira 5.30 petang itu menyaksikan beberapa batang pokok besar di kawasan parkir tumbang namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Muhammad Harith Che Jusoh, 36, berkata ketika kejadian, beliau sedang membaiki kereta pelanggan apabila pokok besar di hadapan bengkelnya tumbang secara tiba-tiba.

“Memang masa itu hujan lebat dan angin pun kuat… dalam sekelip mata sahaja, pokok besar hempap kereta-kereta yang diletakkan di kawasan parkir ini.

“Kira-Kira lima buah kereta pelanggan saya rosak akibat kejadian ini… kali pertama kejadian teruk macam ini berlaku sejak tujuh tahun saya berniaga di tempat ini,” katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau berharap Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berlaku seperti memotong pokok besar di sekitar kawasan parkir itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam pada 5.36 petang.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Tinjauan Bernama mendapati setakat 8.30 malam, kerja-kerja memotong pokok yang tumbang masih dilakukan oleh pihak bomba dan MPS.

— BERNAMA

 


Pengarang :