Perkeso melancarkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bagi membantu majikan mengambil pekerja baharu.
AGENDANASIONAL

Inisiatif JaminKerja bantu rancak pasaran kerja, pulih ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan esok adalah kesinambungan usaha untuk merancakkan semula pasaran kerja dan membantu melancarkan pemulihan ekonomi negara.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata sebelum ini usaha itu dilaksanakan melalui Program Insentif PenjanaKerjaya, dan pada tahun lepas berjaya membantu 320,864 pencari kerja mendapatkan pekerjaan menerusi pelbagai program.

“Sebenarnya kalau kita lihat kepada kedua-dua program ini tidak banyak beza. Program Insentif PenjanaKerjaya merupakan program insentif pengambilan pekerja dan latihan, dilaksanakan sejak 2020 untuk golongan perantis, mereka yang berumur bawah 40 tahun serta mereka dalam segmen 40 tahun dan ke atas.

“Inisitiaf JaminKerja pula berbentuk kewangan kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja baharu bermula pada 1 Januari lalu dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas tentera, bekas banduan, warga emas dan penggangur,” katanya dalam Program Bual Bicara membincangkan topik JaminKerja – Insentif Penggajian Merangsang Pasaran Buruh Negara terbitan Bernama TV malam tadi.

Mohammed Azman berkata di bawah inisiatif JaminKerja, majikan yang mengambil pekerja akan menerima insentif 20 peratus daripada gaji bulanan setiap pekerja, bagi tempoh enam bulan pertama, dan 30 peratus sekiranya pekerja tersebut terus digaji bagi tempoh enam bulan seterusnya.

Inisiatif itu juga, beliau berkata turut memanfaatkan pekerja dengan elaun mobiliti sebanyak RM500, yang akan dibayar sekiranya mereka terpaksa bergerak dari satu negeri atau daerah ke tempat baharu untuk memulakan pekerjaan.

“Langkah ini juga akan membantu melancarkan usaha pemulihan sosioekonomi di samping merancakkan lagi pertumbuhan pekerjaan…jika kita lihat matlamat utamanya untuk mengurangkan penggangguran, sekali gus memastikan mereka yang cari pekerjaan dan majikan yang memerlukan pekerjaan dapat dibantu,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan inisiatif JaminKerja yang melibatkan peruntukan RM4.8 bilion akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan.

Di bawah inisiatif itu, beberapa program akan dilaksana iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dengan permohonan menyertainya dibuka mulai 17 Januari hingga 30 Jun 2022, yang boleh dibuat melalui laman web Perkeso.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :