Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kiri) diiringi ketua guru Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Saodah Tuwa melihat pagar yang siap dibina sumbangan MBI di Kampung Sungai Kertas, Gombak pada 24 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Inisiatif MBI dipuji, lulus permohonan bina kemudahan sekolah dalam tempoh singkat

GOMBAK, 25 FEB: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Samudra di sini memuji tindakan segera diambil Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam membantu sekolah berkenaan.

Yang dipertuanya Farizah Mohd Ramli berkata MBI hanya mengambil tempoh singkat untuk meluluskan permohonan pihaknya untuk menambah baik kemudahan di sekolah tersebut demi keselesaan murid.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Taman Samudra, Farizah Mohd Ramli. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya ingat lagi untuk projek susur gajah fasa dua, saya hantar permohonan bulan November dan kurang dua minggu MBI telefon pihak sekolah serta segera salurkan bantuan tunai ke akaun.

“Malah permohonan terbaharu kita pada Januari lalu juga kurang dua minggu sahaja terus bantuan disalurkan. Saya berterima kasih kerana kerja pantas yang diberikan MBI,” katanya, hari ini.

Sementara itu ketua guru Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas, Saodah Tuwa berkata beliau bersama enam guru menghargai bantuan yang diberikan MBI kepada sekolah berkenaan.

“Sebelum ini kami tiada tandas guru dan perlu berkongsi dengan murid-murid, kami bersyukur atas bantuan ini selain pagar dan bumbung juga turut dibaiki.

“Mereka tidak menunggu lama untuk membantu. Segala keperluan ini disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja selepas kami memohon,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui selepas Ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor mengadakan lawatan di kedua-dua sekolah berkenaan, hari ini.

Sebanyak RM35,000 telah disumbang MBI bagi program infrastruktur di dua sekolah itu pada hujung tahun lalu.


Pengarang :