Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan penggalak ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Inisiatif Selvax Booster dapat sambutan, hampir 90,000 individu ambil vaksin

SHAH ALAM, 24 FEB: Seramai 87,872 individu menerima suntikan dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster sejak dilancarkan Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Selgate Healthcare Sdn Bhd Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata setiap hari ramai individu hadir ke klinik Selcare berhampiran sekali gus membuktikan program tersebut mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita juga telah menganjurkan beberapa program Selvax Booster di beberapa lokasi tertentu di Selangor atas permintaan wakil rakyat setempat,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau turut menasihati mana-mana individu yang belum menerima dos penggalak agar segera berbuat demikian berikutan peningkatan kes harian Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, talian khas 1800-226-600 diaktifkan 24 jam bagi membantu orang ramai mendapatkan penjelasan berkaitan vaksin.

Pada 7 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Senarai klinik terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Selain klinik Selcare, suntikan dos penggalak turut diberikan di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri bermula 17 Disember tahun lepas hingga 14 Januari lalu.

 


Pengarang :