Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Isu permohonan bantuan bah tercicir di Klang selesai

SHAH ALAM, 23 FEB: Masalah keciciran dalam kalangan pemohon bantuan banjir negeri dan persekutuan hanya melibatkan jumlah kecil dan sudah diselesaikan.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji berkata masalah itu diatasi sebaik sahaja menerima aduan daripada pemohon yang membuat semakan, lapor Utusan Malaysia.

“Kita ada minta pemohon untuk ambil gambar borang permohonan mereka yang sudah ada cop.

“Sekiranya merasakan permohonannya tercicir, pemohon boleh mengemukakan aduan beserta gambar borang tersebut supaya kami boleh semakan atau buat permohonan baru untuk mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Utama di sini hari ini.

Seramai 13,997 lagi mangsa banjir di Klang pada Disember lalu menerima bantuan tersebut hari ini, dengan keseluruhan 46,554 penerima setakat ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi jaminan agihan selesai menjelang hujung bulan susulan jumlah permohonan tinggi yang perlu diteliti.


Pengarang :