Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jangkitan harian Covid-19 melonjak ke paras kedua tertinggi 27,808 kes

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Kes baharu Covid-19 yang dicatatkan semalam adalah 27,808 menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 3,166,023 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 27,705 orang atau 99.63 peratus berada dalam kategori satu dan dua manakala 103 kes atau 0.37 peratus kategori tiga, empat dan lima.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 27,689 adalah kes tempatan manakala 119 lagi kes import,” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19, hari ini.

Sebanyak 12,488 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kini 2,900,682, selain kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 235 orang dengan 132 memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata 16 kluster baharu dikenal pasti dan jumlah kluster yang masih aktif adalah 486.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.27 dengan Labuan mencatat nilai tertinggi iaitu 1.99 diikuti Sarawak 1.50 dan Sabah 1.47.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 di Johor mencatatkan 70 peratus manakala Perlis (64 peratus) dan Kuala Lumpur (59 peratus).

Beliau berkata bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), sembilan negeri menunjukkan peratusan lebih 50 peratus dengan Perak mencatatkan 86 peratus, diikuti Selangor (80), Negeri Sembilan (69), Terengganu (62), Kelantan (60), Sabah (59), Pulau Pinang dan Perlis masing-masing (54) dan Melaka (50).

Bagi katil bukan ICU pula, lapan negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Kelantan (108 peratus), Johor (105), Perak (104), Selangor (95), Perlis (93), Sabah (85), Kuala Lumpur (76) dan Putrajaya (66).

“Secara keseluruhannya, kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes Covid-19 dan bukan Covid-19, namun setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas segera sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh,” katanya.

Beliau berkata pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 132 pesakit dan peratusan penggunaan ventilator sebanyak 36 peratus.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengenal pasti sebanyak 168 kes baharu varian membimbangkan (VOC) yang dilaporkan sejak 13 Feb lepas sehingga hari ini.

Ia terdiri daripada 33 kes varian Delta dan 135 kes varian Omicron dan menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus ARS-CoV-2, yang dikategorikan sebagai VOC dan varian perlu perhatian (VOI) adalah sebanyak 7,754 kes.

Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 7,734 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini, VOC mencatatkan bagi varian Delta (6,537 kes), varian Omicron (950 kes), varian Beta (233 kes) dan varian Alpha (14 kes).

“Kes-kes VOI pula mencatatkan varian Theta (13 kes), varian Kappa (empat kes) dan varian Eta (tiga kes),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :