Sukarelawan Yayasan Tzu Chi berganding bahu membersihkan lumpur di kawasan rumah mangsa banjir Taman Sri Muda, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto Yayasan Tzu Chi Malaysia
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Jeritan malam banjir, cetus sukarelawan bantu mangsa terperangkap

Oleh Norrasyidah Arshad

MULANYA, kumpulan sukarelawan Yayasan Tzu Chi sekadar mahu menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Nasi dan mi goreng selain roti dan biskut serta keperluan asas. Itu yang mereka lakukan di Klang sehari sebelumnya. Menghulur 500 bungkus makanan kepada penduduk, baik yang terperangkap di rumah mahupun pusat pemindahan sementara.

Sebaliknya, jeritan yang sayup-sayup pada malam 18 Disember benar-benar meruntun hati. Sukarelawan yayasan itu (foto kemeja T biru gelap) tekad berbuat sesuatu. Bukan sekadar memberi makanan.

Namun, jangankan kepakaran menyelamat, mengendali bot pun belum tentu. Justeru, mereka yang datang dengan pacuan empat roda meminta bantuan sekumpulan nelayan dari Klang.

“Kami bukan pasukan penyelamat. Selalunya kami hanya bantu sediakan makanan tetapi kali ini kami perlu bantu kerana ramai mangsa banjir terkandas,” kata timbalan ketua pegawai eksekutif yayasan berkenaan Sio Kee Hong.

Menaiki 11 bot berenjin, mereka meredah banjir. Kawasan perumahan bagaikan lautan. Suasana pula gelap lantaran bekalan elektrik terputus. Hanya ada pancaran lampu suluh, mungkin juga cahaya telefon bimbit.

“Mereka melambai-lambai minta tolong. Mahu kami tahu mereka perlukan bantuan. Jerit minta nasi, minta makanan, minta diselamat. Ada orang tua, kanak-kanak juga,” cerita Kee Hong.

Sukarelawan Yayasan Tzu Chi bersama orang ramai membersih dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto Yayasan Tzu Chi Malaysia

Kereta hanyut

Pergerakan bot dibuat berhati-hati. Kereta hanyut atau tenggelam menyukarkan laluan. Mereka cuba menyelamatkan warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak dahulu.

Kebanyakan mereka terperangkap di tingkat dua kediaman. Ada juga di bumbung. Kebanyakan mangsa kelihatan takut dan lemah.

Usaha membantu mangsa banjir tidak mengenal kaum. Baik Melayu, Cina, India waima warga asing sekalipun. Perbezaan agama, kaum, malah faktor kewarganegaraan ditolak tepi. Yang penting nyawa manusia perlu diselamatkan.

Pelbagai ragam dan keletah mangsa. Ada yang mahu kekal di rumah, ada yang mahu makanan sahaja, ada juga merayu mohon dikeluarkan dari rumah. Bagi yang enggan meninggalkan rumah, mereka hanya hulurkan makanan.

Beberapa orang dapat mereka selamatkan pada malam tersebut. Namun, bantuan mereka tidak berakhir di situ. Mereka kembali lagi ke kawasan perumahan itu beberapa hari kemudian. Kali ini, mereka bergotong-royong membantu membersihkan sisa banjir apabila air surut.

Kee Hong sendiri tidak menyangka operasi pembersihan pada 24 hingga 26 Disember disertai lebih 8,000 ahli yayasan termasuk Melayu dan India. Kehadiran sukarelawan sememangnya genting. Betapa tidak, kebanyakan rumah dipenuhi lumpur. Banyak perabot dan kelengkapan lain rosak teruk, tidak kurang juga terpaksa dibuang.

Sukarelawan Yayasan Tzu Chi juga membersih premis perniagaan terjejas banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 24 Disember 2021. Foto Yayasan Tzu Chi Malaysia

Luah perasaan

Walau pertama kali bersua wajah, kebanyakan mangsa banjir tidak segan-silu meluahkan perasaan mereka. Dalam kesedihan, mereka menyambut baik kehadiran sukarelawan.

“Mereka menangis bila kami hulur bantuan. Walaupun tiada hubungan darah tapi kami seperti satu keluarga. Daripada situ menunjukkan muafakat terbentuk kalau kita ada rasa kasih sayang.

“Usaha ini mendapat sambutan orang awam juga. Ada seorang warga emas keturunan India sanggup memandu dari Gombak ke Taman Sri Muda untuk menghantar sejumlah wang. Dia kata tak mampu beri tenaga jadi dia bantu daripada segi kewangan,” katanya.

Sukarelawan juga memberi kata-kata perangsang kepada mangsa banjir supaya mereka kembali bersemangat meneruskan kehidupan selepas berdepan tragedi tidak terduga itu.

Yayasan berkenaan turut menghulur bantuan kewangan berjumlah RM1,000 kepada mangsa banjir Taman Sri Muda. Ini sekali gus menambah nilai bantuan kewangan penduduk yang turut menerima bantuan dalam jumlah sama, masing-masing daripada Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Lebih 3,000 penduduk Taman Sri Muda menerima bantuan tersebut di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khe Beng, Seksyen 32, Shah Alam setakat ini. Yayasan itu turut menyasarkan lebih 16,000 mangsa banjir menerima bantuan itu termasuk luar Selangor.

Selepas penyerahan bantuan kepada mangsa di Taman Sri Muda, agihan akan dibuat kepada kepada penduduk Hulu Langat selain Pahang.


Pengarang :