DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melancarkan jersi ‘away’ Selangor FC yang menampilkan reben penyakit barah bagi menyokong kempen ‘Lets Cope with A Neon Hope” sempena Hari Barah Sedunia di Sunway Pyramid Convention Centre, Subang Jaya pada 4 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Jersi ‘away’ Selangor FC tampil mesej sokong pejuang lawan barah

PETALING JAYA, 4 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor hari ini melancarkan jersi Selangor FC (SFC) di tempat lawan yang menampilkan reben penyakit barah sebagai simbol rasmi.

Tengku Amir Shah yang juga pengerusi SFC bertitah pemilihan reben yang diletakkan di belakang jersi itu sebagai sokongan kepada pesakit yang berjuang melawan penyakit kronik berkenaan.

“Ini juga menghargai sokongan keluarga dan rakan kepada pesakit barah yang bersama mengharungi saat sukar sepanjang rawatan.

“Diharap kempen ini meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membuat saringan bagi mencegah sebarang penyakit dengan lebih awal,” titah Baginda pada majlis di Sunway Pyramid Convention Centre di sini.

Raja Muda turut berkenan merasmikan kempen ‘Lets Cope with A Neon Hope” sempena Hari Barah Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun.

Baginda juga menyerahkan sumbangan RM15,000 daripada SFC kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kanser Negara.

Program itu turut menampilkan ketua pasukan SFC Brendan Gan yang berkongsi pengalamannya untuk sembuh barah testis dihidapinya pada Julai tahun lalu.


Pengarang :