Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tangguh pelaksanaan program rintis bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau JKMpay.
AGENDANASIONAL

JKM, Pertubuhan Sukarela Kebajikan bincang isu OKU

PUTRAJAYA, 26 FEB: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengadakan sesi libat urus bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) Orang Kurang Upaya (OKU) dalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada golongan itu.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi kenyataan memaklumkan objektif sesi libat urus itu ialah memberi penerangan berkaitan penambahbaikan perkhidmatan OKU dan pelaksanaan program rintis bayaran bantuan kewangan tanpa tunai atau dikenali sebagai JKMPay.

“Perbincangan banyak menyentuh mengenai JKMPay. Penjelasan mengenai siapa yang terlibat dalam program JKMPay, bagaimana ia dilaksanakan dan apakah perkhidmatan yang disediakan di bawah JKMPay telah dijelaskan secara terperinci,” menurut kenyataan itu.

KPWKM menjelaskan JKM akan terus memantapkan proses pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) di bawah Pemangkin Dasar Empat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu mempercepat penyampaian perkhidmatan awam supaya keberhasilan perkhidmatan dapat memberikan kesejahteraan rakyat seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Menurut kenyataan itu, KPWKM juga mengambil maklum isu-isu berbangkit kumpulan sasar kementerian dengan menggunakan pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Nation’ supaya penggemblengan tenaga pelbagai pihak seperti PSK, agensi, korporat, pemimpin tempatan dan komuniti dimanfaatkan bagi menjayakan program khususnya penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada kumpulan sasar.

-BERNAMA


Pengarang :